Monday, March 29, 2010

Melayu Oh Melayu!

> Melayu itu orang yang bijaksana
> Nakalnya bersulam jenaka
> Budi bahasanya tidak terkira
> Kurang ajarnya tetap santun
> Jika menipu pun masih bersopan
> Bila mengampu bijak beralas tangan.
>
> Melayu itu berani jika bersalah
> Kecut takut kerana benar,
> Janji simpan di perut
> Selalu pecah di mulut,
> Biar mati adat
> Jangan mati anak.
>
> Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
> Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
> Banjar juga disebut Melayu,
> Minangkabau memang Melayu,
> Keturunan Acheh adalah Melayu,
> Jakun dan Sakai asli Melayu,
> Arab dan Pakistani, semua Melayu
> Mamak dan Malbari serap ke Melayu
> Malah mua'alaf bertakrif Melayu
>
> Dalam sejarahnya
> Melayu itu pengembara lautan
> Melorongkan jalur sejarah zaman
> Begitu luas daerah sempadan
> Sayangnya kini segala kehilangan
>
> Melayu itu kaya falsafahnya
> Kias kata bidal pusaka
> Akar budi bersulamkan daya
> Gedung akal laut bicara
>
> Malangnya Melayu itu kuat bersorak
> Terlalu ghairah pesta temasya
> Sedangkan kampung telah tergadai
> Sawah sejalur tinggal sejengkal
> tanah sebidang mudah terjual
>
> Meski telah memiliki telaga
> Tangan masih memegang tali
> Sedang orang mencapai timba.
> Berbuahlah pisang tiga kali
> Melayu itu masih bermimpi
>
> Walaupun sudah mengenal universiti
> Masih berdagang di rumah sendiri.
> Berkelahi cara Melayu
> Menikam dengan pantun
> Menyanggah dengan senyum
> Marahnya dengan diam
> Merendah bukan menyembah
> Meninggi bukan melonjak.
>
> Watak Melayu menolak permusuhan
> Setia dan sabar tiada sempadan
> Tapi jika marah tak nampak telinga
> Musuh dicari ke lubang cacing
> Tak dapat tanduk telinga dijinjing
> Maruah dan agama dihina jangan
> Hebat amuknya tak kenal lawan
>
> Berdamai cara Melayu indah sekali
> Silaturrahim hati yang murni
> Maaf diungkap senantiasa bersahut
> Tangan diulur sentiasa bersambut
> Luka pun tidak lagi berparut
>
> Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
> Segala yang ada sanggup diberikan
> Sehingga tercipta sebuah kiasan:
> "Dagang lalu nasi ditanakkan
> Suami pulang lapar tak makan
> Kera di hutan disusu-susukan
> Anak di pangkuan mati kebuluran"
>
> Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
> Masihkan tunduk tersipu-sipu?
> Jangan takut melanggar pantang
> Jika pantang menghalang kemajuan;
> Jangan segan menentang larangan
> Jika yakin kepada kebenaran;
> Jangan malu mengucapkan keyakinan
> Jika percaya kepada keadilan.
>
> Jadilah bangsa yang bijaksana
> Memegang tali memegang timba
> Memiliki ekonomi mencipta budaya
> Menjadi tuan di negara Merdeka

Usman Awang

p/s:OOOO...melayu mcm tu rupa2nya..bru chek tau...klu x...chek xtaula yeee...oooo...orait....

No comments: